NABI Ayub, anak Nabi Ishak dilimpahi kekayaan harta benda, malah mempunyai banyak binatang ternakan seperti lembu, kambing, kuda, kaldai dan unta. Kekayaan itu membuatkan kehidupannya senang.
Beliau juga mempunyai keturunan yang besar kerana ramai anak, baik lelaki mahu pun perempuan. Seorang daripada anaknya menjadi nabi, iaitu Basyar.
Walaupun kaya dan mempunyai segala kemewahan, Nabi Ayub tidak lupa membuat kebajikan kepada golongan fakir, miskin dan anak yatim. Beliau tidak sombong, malah tetamu yang mengunjungi rumahnya disambut dengan baik.
Harta dan keturunan yang besar tidak sedikit pun menjadikannya bongkak dan hamba kepada kekayaan. Sebaliknya, dengan kekayaan itu keimanan dan ketakwaannya kepada Allah semakin luhur.
Melihatkan keadaan Nabi Ayub itu, iblis berusaha menggunakan segala tipu helah untuk menggugat keimanannya.
Justeru Nabi Ayub diuji dengan pelbagai cubaan. Pertama diuji melalui kekayaan dan harta bendanya. Kemewahan dengan kekayaan yang dinikmati, semakin hari menjadi susut dan seterusnya semua kekayaan itu habis.
Ayub akhirnya menjadi miskin dalam sekelip mata. Walaupun menghadapi ujian getir itu keimanan kepada Allah tidak langsung terjejas. Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya tidak ketinggalan mengingati Allah.
Pendirian Nabi Ayub ternyata tidak mudah diubah. Justeru, diuji sekali lagi dengan kematian anaknya, namun beliau masih bersabar dan pada masa
sama memupuk ketakwaan pada Allah.
Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’.”
Nabi Ayub memang tetap dengan pendiriannya, tidak tewas dengan tipu helah iblis. Selepas itu, Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang luar biasa. Beliau menderita kerana penyakit itu selama tujuh tahun.
Walaupun begitu lama menanggung sengsara penyakit itu, beliau tidak pernah gelisah. Beliau tabah menghadapi dugaan. Walaupun badannya semakin kurus, hingga menakutkan mata memandang, beliau masih mampu mengingati Allah.
Disebabkan penyakit Nabi Ayub itu sungguh dahsyat tiada orang sanggup melihatnya, melainkan isterinya yang sabar menemani dan merawatnya. Iblis tidak senang apabila menyaksikan kesabaran dan kesetiaan isteri Nabi Ayub.
Isterinya digoda supaya tidak melayaninya lagi. Tipu daya iblis itu sebenarnya diketahui Nabi Ayub dari awal lagi lalu diberitahu kepada
isterinya.
Nabi Ayub berkata kepada isterinya: “Jika aku sembuh, engkau pasti aku pukul 100 kali.” Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah seperti digambarkan melalui al-Quran: “Ingatlah ketika Ayub menyeru kepada Tuhannya: Ya tuhanku! Aku mendapat penyakit dan cubaan daripada syaitan.”
Doa Nabi Ayub dimakbul Allah dan penyakit yang dideritainya selama tujuh tahun sembuh. Dalam al-Quran diceritakan: “Cecah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum. Dan Kami anugerahkan dia dengan mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami tambahkan kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pengajaran bagi orang yang mempunyai fikiran.”
Mengenai nazarnya, Nabi Ayub mengingatkan isterinya yang terpedaya dengan iblis bahawa beliau akan memukul isterinya itu 100 kali jika beliau sembuh. Justeru, apabila benar-benar sembuh dan sihat, Nabi Ayub bertekad untuk melaksanakan nazar itu.
Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ayub mengenai cara melakukan nazar itu. Firman Allah, bermaksud: “Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput (100 batang), lalu pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah.
Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar, dialah sebaik hamba kerana dia sesungguhnya amat taat kepada Tuhannya.”
Nabi Ayub menggunakan rumput yang diikat itu untuk memukul isterinya dengan sekali libasan. Walaupun sekali pukulan, ia dikira 100 kali kerana rumput yang diikat itu mengandungi 100 helai daun.
sumber : klik sini.
Tweet
0 budak comel :
Post a Comment